Cara memotong kuku ikut sunnah nabi
MEMOTONG KUKU
FITRAH RASULULLH SHaLLALLaHU 'ALAIHI WASALLAM
☆ 。 ☆。 ☆ ★。
بســم الله الرحمــن الرحــيم/BismiLlaahirRahmaanirRahiim.
لسَّلاَم ُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ
اللهِ وَبَرَكَات./Assalaaamu'alaykum
warahmatuLlaahi wabarakaatuh
Kuku ialah selaput atau bahagian keras yang tumbuh pada ujung jari manusia,
benda keras yang menganjur yang tumbuh pada ujung kaki binatang (ada yang besar
dan ada yang panjang dan tajam).
Kuku yang diciptakan Allah Subhanahu wa Ta'ala mempunyai peranan dan
kepentingannya yang tersendiri kepada manusia. Dalam hukum Islam, kuku berperan
alam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam.
Walaupun ia dilihat hanya seolah-olah perkara kecil, namun kadang-kadang ia
adalah perkara besar, sebagai contoh kuku bisa menyebabkan tidak sah wudhu atau
mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.
Beberapa permasalahan yang berhubungan dengan kuku dari segi hukum, hikmah
memotong kuku, memanjangkan dan mewarnanya
1. Hukum Dan Hikmah Memotong Kuku
Memotong kuku adalah termasuk dalam amalan sunah. Sebagaimana disebutkan dalam
hadis dari 'Aisyah Radhiallahu 'anha yang maksudnya: "Sepuluh perkara
dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong kumis, memelihara jenggot, bersiwak,
memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak,
mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria:
"berkata Mus'ab: "Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur."
(Hadis riwayat Muslim)
Memotong kuku adalah sunah bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau
kaki.
Adapun hikmah daripada memotong kuku ialah menghilangkan segala kotoran yang
melekat atau berkumpul di celah kuku, yang mana kotoran tersebut bisa
menghalangi sampainya air ketika bersuci.
Selain daripada itu, jika kuku itu pula dibiarkan panjang dan segala kotoran
atau najis melekat di dalamnya, nescaya ia bisa berpengaruh pada kesihatan.
2. Cara Dan Benda Untuk Memotong Kuku
Sunah memotong kuku dimulai daripada tangan kanan kemudian tangan kiri,
memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.
Menurut Imam an-Nawawi, sunah memotong kuku dimulai jari tangan kanan
keseluruhannya daripada jari telunjuk sehingga jari kelingking kemudian tangan
kiri dari jari kelingking sehingga ibu jari.
Sementara kuku kaki pula, dimulai kaki kanan dari jari kelingking sehinggalah ibu
jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking.
Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau
benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari seperti
yang dikenali sebagai alat pemotong kuku.
Setelah selesai memotong kuku, sayogyanya segera membasuh tangan (tempat kuku
yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaruk pada
anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta.
Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong
kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.
3. Waktu Memotong Kuku
Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian
dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tergantung pada panjang kuku
tersebut. Kapanpun diharuskan memotong kuku apabila seseorang itu berkehendak
pada memotongnya.
Akan tetapi janganlah membiarkan kuku tersebut tidak dipotong sehingga melebihi
empat puluh hari. Sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang
maksudnya :
"Telah ditentukan waktu kepada kami memotong kumis, memotong kuku,
mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya
lebih daripada empat puluh malam."
(Hadis riwayat Muslim)
Adapun menurut Imam asy-Syafi'e dan ulama-ulama asy-Syafi'yah, sunah memotong
kuku itu sebelum mengerjakan sembahyang Juma'at, sebagaimana disunahkan mandi,
bersiwak, berharuman, berpakaian rapi sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan
sembahyang Juma'at.
Diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah
Radhiallahu 'anhuma berkata yang maksudnya :
Maksudnya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:
"Sesiapa yang mandi pada hari Juma'at, bersiwak, berwangian jika
memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga
sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah
bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang sembahyang sunah, dia diam ketika
imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan
sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Juma'at itu dan Juma'at
sebelumnya."
(Hadis riwayat Ahmad)
Daripada Abu Hurairah katanya yang
maksudnya : "Bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alahi wasallam memotong
kuku dan mengunting kumis pada hari Juma'at sebelum Baginda keluar untuk
bersembahyang."
Hari-Hari Memotong kuku
(Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani) Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah
pula, sunah memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Juma'at atau pada hari
Isnin.
Terdapat dalam sebuah hadith Nabi Rasulullah Shallallahu 'alahi wasallam
bermaksud;
“Barangsiapa memotong kuku atau mengerat kuku pada hari;
SABTU -> Mempusakai penyakit akilah (yang disebabkan banyak makan)
AHAD -> Hilang berkat
ISNIN-> Mempusakai alim fadhil (berilmu dan mempunyai kelebihan)
SELASA -> Mempusakai kebinasaan
RABU -> Mempusakai jahat perangai
KHAMIS -> Mempusakai kaya
JUMAAT -> Mempusakai ilmu dan lemah lembut
(Dipetik dari kitab Al-Jauharul Mauhub Wa Munabbahatul
Qulub Jilid 1)
4. Menanam Potongan Kuku
Islam sangat perihatin terhadap memuliakan anak Adam termasuk memuliakan
anggota badan manusia. Potongan-potongan kuku sunah ditanam di dalam tanah
sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia.
Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu 'Umar Radhiallahu
'anhu menanam potongan kuku.
5. Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub
Menurut kitab Al-Ihya', jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas
besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong
sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Kerana segala
potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.
6. Memanjangkan Kuku Dan Mewarnainya ( Cutex)
Tabiat memanjangkan kuku dan membiarkannya tanpa dipotong adalah perbuatan yang
bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihhi wasallam , kerana
Baginda menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku itu panjang,
nescaya banyak perkara-perkara yang membabitkan hukum seperti wudhu, mandi
wajib dan sebagainya.
Adapun dalam hal mewarnai kuku (cutex), perempuan yang bersuami adalah haram
mewarnai kuku jika suaminya tidak mengizinkan. Sementara perempuan yang tidak
bersuami pula, haram baginya mewarnai kuku. Demikian juga jika pewarna itu
diperbuat daripada benda najis adalah haram digunakan melainkan ada hajat
seperti berubat.
Jika pewarna kuku itu boleh menghalang daripada masuknya air, maka wajiblah
dibersihkan pewarna tersebut. Jika tidak dibersihkan ia daripada kuku tangan
atau kaki, maka tidaklah sah wudhu apabila dia berhadas kecil, atau mandi wajib
apabila dia berhadas besar iaitu haid, nifas atau junub.
Hal ini berbeda pula dengan berinai, kerana perempuan yang bersuami atau perempuan
yang hendak berihram sunah baginya berinai atau berpacar. Walau bagaimanapun
cara berinai yang disunahkan itu ialah dengan menggunakan daun inai pada
seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Disunahkan juga
menyapukan sedikit inai kemuka, sebab ketika ihram, perempuan disuruh membuka
muka dan kadang-kadang kedua telapak tangannya akan terbuka. Maka dengan
berinai itu akan menutupi warna kulit tangan dan muka.
Adapun perempuan yang tidak bersuami, adalah makruh berinai (menginai seluruh
dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan) tanpa ada sesuatu sebab
keuzuran dan tidak pula bermaksud untuk melakukan ihram. Ini kerana ditakuti
akan menimbulkan fitnah.
Sementara cara berinai dengan hanya menginaikan ujung-ujung jari sahaja dan membuat
ukiran-ukiran tertentu adalah tidak dianjurkan, bahkan haram hukumnya berbuat
begitu. Akan tetapi diharuskan bagi perempuan yang bersuami berinai dengan cara
berkenaan dengan syarat ada keizinan daripada suami. Ini memandangkan ada
tujuan isteri berhias untuk suami. Jika tanpa ada keizinan suami maka hukumnya
tetap haram.
Manakala hukum berinai bagi kaum lelaki pada dua tangan dan kaki adalah haram.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya yang maksudnya :
"Bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam melarang kaum lelaki memakai
za'faran (kuma-kuma)." (Hadis riwayat Muslim)
Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu terdapat di dalamnya
unsur-unsur menyerupai cara kaum wanita berhias. Akan tetapi jika lelaki itu
berinai kerana ada keuzuran iaitu ada keperluan atau hajat seperti untuk
berubat, tidaklah diharamkan malahan tidak juga dimakruhkan ke atasnya berinai.
Semoga Bermanfaat..
Salam Erat Silaturrahim wa Ukhuwah Fillah.
No comments:
Post a Comment